ANALISIS KESALAHAN BAHASA DAN AMALAN PENGAJARAN KARANGAN BAHASA ARAB DI EMPAT SEKOLAH AGAMA DI DAERAH SEREMBAN
(Penyelia : Ustaz Shahrin Bin Awaluddin)
MOHD ZAWAWI BIN AWANG HAMAT (2004)
ABSTRAK
Tujuan utama kajian ini ialah untuk meninjau kesalahan bahasa pelajar tingkatan
lima di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan dalam penulisan
karangan Bahasa Arab. Kajian ini juga bertujuan meninjau amalan pengajaran
kemahiran menulis karangan, masalah pengajaran karangan dan cadangan untuk
mengatasi masalah kesalahan bahasa dalam karangan pelajar. Bahagian pertama
dalam kajian ini menggunakan 50 sampel karangan pelajar tingkatan lima di
Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan. Data dan bahagian
pertama dikumpul dan dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan formula
taburan kekerapan dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa responden
melakukan 652 kesalahan bahasa iaitu 40 % dalam aspek tatabahasa, 28
%, dalam aspek perbendaharaan kata, 19% kesalahan ejaan dan 13% dalam
struktur ayat. Manakala bahagian kedua daripada kajian ini, soal selidik
digunakan untuk mengumpul maklumat daripada 30 orang responden yang mengajar
Bahasa Arab. Data bahagian ini dianalisis menggunakan SPSS 11.0 bagi mendapatkan
frekuensi, peratusan dan min. Dapatan kajian menunjukkan amalan guru dalam
pengajaran kemahiran menulis karangan dan tahap masalah yang dihadapi oleh para
guru dalam pengajaran karangan berada pada tahap sederhana.