HUBUNGAN AMALAN GURU BAHASA ARAB DENGAN PENCAPAIAN BAHASA ARAB KOMUNIKASI DI SMKA DAN KAA DI DAERAH KUALA PILAH DAN TAMPIN, NEGERI SEMBILAN
(Penyelia : Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff)
MOHD SUFIAN BIN DAUD (2005)
ABSTRAK
Tujuan kajian ini untuk meninjau persepsi pelajar terhadap tahap amalan guru
bahasa Arab Komunikasi dan hubungannya dengan pencapaian pelajar. Kajian
berbentuk tinjauan ini melibatkan 184 pelajar bahasa Arab Komunikasi di SMKA dan
KAA di Negeri Sembilan. Antara aspek-aspek yang dikaji ialah tahap bimbingan
guru, tahap penilaian guru, tahap mesra guru, tahap motivasi guru dan tahap
penyampaian guru. Kajian ini melihat perkaitan di antara pembolehubah amalan
guru iaitu bimbingan, penilaian, mesra, motivasi dan penyampaian dan hubungannya
dengan pencapaian pelajar bahasa Arab Komunikasi di Negeri Sembilan. Data yang
diperolehi dianalisis dengan menggunakan Pakej Statistik untuk Sains Sosial
(SPSS) versi 12. Analisa statistik dilakukan berdasarkan kekerapan, peratusan,
min dan sisihan piawai. Analisis pekali Pearson digunakan untuk melihat
perkaitan antara pembolehubah-pembolehubah bebas. Ujian t juga dibuat untuk
melihat perbezaan min antara amalan guru Bahasa Arab Komunikasi Di KAA dan SMKA.
Manakala bagi melihat kesan pembolehubah tidak bersandar ke atas pembolehubah
bersandar analisis regresi berganda dijalankan. Secara keseluruhannya, kajian
ini mendapati tahap amalan bimbingan guru Bahasa Arab Komunikasi adalah baik,
tahap amalan penilaian pula adalah lemah, tahap amalan mesra adalah sederhana
begitu juga dengan tahap amalan penyampaian dan manakala tahap amalan motivasi
guru adalah baik. Dapatan kajian juga menunjukkan pembolehubah bimbingan,
penilaian, mesra, motivasi dan penyampaian tidak mempengaruhi pencapaian
akedemik pelajar.