MINAT, MOTIVASI DAN SIKAP PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN EMPAT SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA DI NEGERI SEMBILAN TERHADAP ILMU NAHU
(Penyelia : Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff)
MOHD SHAH BIN UJANG (2006)
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap minat, motivasi dan sikap
pelajar-pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Negeri
Sembilan terhadap ilmu nahu bahasa Arab. Kajian ini di jalankan di Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama di Negeri Sembilan. Seramai 269 orang terlibat sebagai
responden kajian. Data kajian yang dikumpul diproses dengan menggunakan program
SPSS versi 11.0. Statistik deskriptif iaitu frekuensi, peratusan dan min telah
digunakan untuk menjelaskan profil responden dan menjawab persoalan kajian.
Sementara itu, statistik inferensi iaitu Ujian t digunakan untuk melihat
perbezaan di antara tahap minat, motivasi dan sikap berdasarkan jantina, aliran
akademik. Ujian Korelasi Pearson pula digunakan untuk melihat hubungan di antara
minat dan sikap dengan tahap motivasi serta hubungan sikap dan minat pelajar
terhadap Ilmu Nahu. Secara umumnya kajian ini mendapati bahawa minat, motivasi
dan sikap pelajar-pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
terhadap Ilmu Nahu adalah di tahap yang sederhana. Kajian juga mendapati bahawa
tidak terdapat perbezaan di antara tahap minat, motivasi dan sikap berdasarkan
jantina, dan aliran akademik. Kajian ini juga menunjukkan terdapat hubungan di
antara tahap sikap dan minat dengan motivasi pelajar terhadap Ilmu Nahu begitu
juga terdapat hubungan antara sikap dan minat pelajar terhadap Ilmu Nahu. Kajian
berbentuk tinjauan ini menggunakan set soal selidik bagi mengumpulkan data
kajian.