PELAKSANAAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN BAHASA ARAB KOMUNIKASI DI SEKOLAH MENENGAH

(Penyelia : Ustaz Kamarulzaman Bin Abdul Ghani)

NORMAH BINTI IDRIS (2004)

ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk meninjau sejauh manakah pendekatan komunikatif dalam pengajaran Bahasa Arab Komunikatif dilaksanakan di sekolah menengah daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Aspek-aspek amalan pendekatan komunikatif yang dikaji ialah: kefahaman konsep, sumber pemerolehan pengetahuan, pelaksanaan prinsip pendekatan komunikatif dan masalah pelaksanaan. Pengumpulan data dilakukan dengan mengedarkan soal selidik kepada 42 orang guru bahasa Arab di 11 buah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Data yang dikumpulkan dianalisis secara deskriptif dan statistik inferensi dengan menggunakan SPSS 10.0 bagi rnendapatkan frekuensi, peratusan, min, ujian-t untuk perbezaan antara pembolehubah dan ujian kolerasi Pearson untuk mengenalpasti perkaitan yang wujud antara pembolehubah. Maklum balas responden diinterpretasi berdasarkan min. Cara pengukuran tahap dibuat melalui sistem tiga kuartil dengan satu darjah pembuktian iaitu melalui skor julat min berdasarkan Likert lima skala (5-3), kuartil 1 - tahap rendah (0 - 1.66), kuartil 2 - sederhana (1.67 - 3.33), kuartil 3 -  tahap tinggi (3.34 - 5.00). Kajian ini menggunakan populasi sasaran atau ‘target population’ dengan mengambil keseluruhan 42 orang guru bahasa Arab yang mengajar Bahasa Arab Komunikasi di 12 buah sekolah menengah di Hulu Langat. Secara keseluruhannya, tahap pelaksanaan pendekatan komunikatif adalah pada tahap yang tinggi (min 3.9). Kefahaman terhadap konsep adalah pada tahap tinggi juga (min 35). Responden juga bersetuju (tahap tinggi) bahawa sumber pemerolehan pengetahuan yang dinyatakan membantu mereka memahami serta melaksanakan pendekatan komunikatif ini (min 3.7). Mereka juga bersetuju (tahap tinggi) bahawa terdapat masalah ketika pelaksanaan pendekatan komunikatif (min 3.79).