PENGGUNAAN ICT DI KALANGAN GURU BAHASA ARAB KOMUNIKASI: KAJIAN DI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH
DAN RENDAH DI ZON SELATAN SELANGOR

(Penyelia : Ustaz Kamarulzaman Abdul Ghani)

ROFISHAH BTE HJ. RASHID (2005)

ABSTRAK


Kajian ini bertujuan mengenal pasti penggunaan ICT di kalangan guru-guru Bahasa Arab Komunikasi di Zon Selatan Selangor. Fokus kajian tertumpu kepada perbezaan yang wujud berdasarkan jantina, tahap pendidikan, dan tempoh perkhidmatan guru-guru Bahasa Arab Komunikasi serta korelasi yang wujud di antara penggunaan ICT dengan persepsi, pengetahuan serta prasarana ICT di sekolah. Responden terdiri daripada 63 orang guru Bahasa Arab Komunikasi dan Sekolah-Sekolah menengah (KAA) dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama serta dua buah Sekolah Menengah Agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Responden telah diberikan satu set soalan untuk mengumpulkan data berkaitan penggunaan ICT di kalangan guru-guru Bahasa Arab Komunikasi di beberapa buah sekolah menengah dan rendah. Seterusnya data ini dianalisis dengan menggunakan komputer melalui program SPSS. Hasil kajian yang diperolehi menunjukkan bahawa guru mempunyai persepsi terhadap ICT yang sangat baik. Hanya sebahagian di kalangan guru yang mempunyai pengetahuan ICT dan segelintir daripadanya yang dapat mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina dengan tahap pengetahuan ICT guru-guru. Namun, tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara tahap pendidikan, tempoh perkhidmatan dengan penggunaan ICT di sekolah dan juga di antara jantina dengan persepsi serta penggunaan ICT ketika pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini juga mendapati wujudnya hubungan yang signifikan di antara pengetahuan ICT serta kemudahan ICT di sekolah dengan penggunaan ICT di kalangan guru-guru ketika p&p. Namun, tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara penggunaan ICT dengan persepsi guru terhadap ICT. Implikasi kajian ini, guru-guru perlu diberi pendedahan kursus-kursus berkaitan ICT serta kemudahan ICT yang mencukupi bagi menggalakkan guru-guru menggunakan ICT di sekolah.