PENGGUNAAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN BAHASA ARAB
KOMUNIKASI: SATU KAJIAN DI SMAP LABU
(Penyelia : Prof. Dr. T. Subahan Mohd Meerah)
JEFRIDIN BIN PILUS (2002)
ABSTRAK
Tujuan kajian ini ialah untuk melihat sejauh mana pendekatan komunikatif
dilaksanakan dalam pengajaran Bahasa Arab Komunikasi di kalangan guru di Sekolah
Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan Darul Khusus. Dalam kajian ini
Soal selidik, Skedul pemerhatian dan Skedul temu bual digunakan untuk mengumpul
maklumat daripada 9 orang responden yang mengajar Bahasa Arab Komunikasi. Data
yang dikumpul dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan SPSS 10.0 bagi
mendapatkan frekuensi, peratusan dan min. Tindak balas responden diinterpretasi
berdasarkan nilai min. Nilai min antara 1.00 hingga 1.99 dikategorikan sebagai
negatif, 2.00 hingga 2.99 dikategorikan sebagai sederhana dan 3.00 hingga
dikategorikan sebagai positif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kefahaman guru
terhadap konsep pendekatan komunikatif dalam pengajaran bahasa adalah sederhana
(min= 2.7). Pendedahan guru terhadap konsep pendekatan komunikatif juga adalah
sederhana (min= 2.18). Tahap penggunaan pendekatan komunikatif dalam pengajaran
Bahasa Arab Komunikasi di Sekolah Menengah Agama Persekutuan adalah sederhana
(min= 2.87). Kajian ini juga menunjukkan bahawa masalah utama guru dalam
menggunakan pendekatan dalam pengajaran mereka ialah kekurangan pengetahuan yang
berkaitan dengan pendekatan komunikatif. Berdasarkan kepada dapatan kajian,
beberapa cadangan dikemukakan untuk pelaksanaan pendekatan komunikatif serta
cadangan untuk kajian lanjutan.