PERSEPSI GURU TERHADAP PELAKSANAAN KURIKULUM BERASASKAN KOMPETENSI MATA PELAJARAN BAHASA ARAB DI MADRASAH ALIYAH KOTA JAMBI
(Penyelia : Dr. Hj. Maimun Aqsha Lubis)
BUDI SANJAYA (2007)
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang pelaksanaan dasar dan
kandungan kurikulum berasaskan kompetensi mata pelajaran bahasa Arab di Madrasah
Aliyah kota Jambi, Indonesia dan persepsi guru. Aspek dasar kurikulum meliputi
falsafah, sistem, matlamat pendidikan nasional dan objektif mata pelajaran
bahasa Arab. Manakala aspek kandungan kurikulum meliputi program, pendekatan,
kaedah, teknik, bahan bantu mengajar dan penilaian pengajaran. Kajian ini
dijalankan dengan menggunakan kaedah tinjauan. Data kajian dikumpulkan dengan
menggunakan soal selidik. Responden kajian terdiri daripada 48 orang guru yang
mengajar di tingkatan satu hingga tingkatan tiga di 16 buah Madrasah Aliyah di
Kota Jambi. Data kajian dianalisis secara statistik deskriptif dan inferensi,
ujian khi-kuasa dua digunakan untuk menentukan perbezaan pelaksanaan kurikulum
antara guru lelaki dengan perempuan dan antara guru yang mengikuti kursus
latihan dengan yang tidak mengikuti kursus latihan. Dapatan kajian mendapati
bahawa guru memahami tentang dasar kurikulum yang dilaksanakan. Pelaksanaan
program perancangan pengajaran pengajaran yang sangat kerap dilaksanakan ialah
program rancangan pengajaran dan program bahan pengajaran. Pendekatan yang kerap
digunakan oleh guru ialah pendekatan Cara Belajar Siswa Aktif (CBSA). Kaedah
pengajaran yang kerap digunakan oleh guru ialah kaedah perbincangan, pemberian
tugas dan kaedah soal jawab. Teknik pengajaran yang kerap digunakan oleh guru
ialah teknik bebas. Bahan sumber dan alat bantu mengajar yang sangat kerap
digunakan guru ialah buku teks. Penilaian yang sangat kerap digunakan oleh guru
ialah penilaian kurikuler. Hasil ujian khi-kuasa dua mendapati tidak terdapat
perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan guru perempuan dalam
pelaksanaan dasar mahupun pelaksanaan kandungan kurikulum. Sebaliknya terdapat
perbezaan yang signifikan antara guru yang mengikuti kursus latihan dengan guru
yang tidak mengikuti kursus latihan. Dapatan kajian juga disokong oleh dapatan
temubual iaitu guru yang mengikuti kursus latihan lebih baik pencapaiannya
berbanding dengan guru yang tidak mengikuti kursus latihan dalam pelaksanaan
kurikulum berasaskan kompetensi mata pelajaran bahasa Arab.