PERSEPSI IBU BAPA TERHADAP KEPENTINGAN PENGAJARAN BAHASA ARAB DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
(Penyelia : Puan Norshidah Mohamad Salleh)
SHAMSINA BINTI SHAMSUDDIN (2006)
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan meninjau persepsi terhadap kepentingan pengajaran bahasa Arab dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kepentingan bahasa Arab ini dilihat daripada aspek kepentingan bahasa Arab secara umum, kepentingan pengajaran bahasa Arab dalam pendidikan awal kanak-kanak dan kepentingan untuk memupuk minat terhadap bahasa Arab di kalangan kanak-kanak prasekolah. Kajian ini berbentuk tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik untuk mendapat data daripada ibu bapa berhubung dengan persepsi mereka terhadap kepentingan bahasa Arab dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kajian dijalankan terhadap 300 orang ibu bapa kanak-kanak di dua belas buah prasekolah dalam daerah Hulu Langat. Kajian juga turut meninjau persepsi dua belas orang guru Pendidikan Islam dan guru bahasa Arab di prasekolah yang terlibat menggunakan temu bual berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan bahawa purata min persepsi bagi ketiga-tiga kepentingan yang dikaji berada pada tahap tinggi. Perbandingan persepsi di antara ibu bapa yang berlainan tahap pendidikan, lokasi tempat tinggal, jantina dan jenis prasekolah anak-anak juga telah dibuat menggunakan alat ujian ANOVA satu hala dan Analisis Univariat. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara ibu bapa berdasarkan tahap pendidikan dan jenis prasekolah anak. Walau bagaimanapun tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan jika dilihat dan perbezaan jantina dan lokasi tempat tinggal. Analisis Korelasi Pearson pula digunakan untuk melihat hubungan persepsi dengan umur ibu bapa. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara persepsi dengan umur ibu bapa. Analisis temubual bersama guru pula menunjukkan kesemua guru bersetuju jika bahasa Arab dilaksanakan di peringkat prasekolah dengan lebih sebahagian daripada mereka mencadangkan agar ia diajar sebagai satu komponen yang berasingan di dalam kurikulum prasekolah.