PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PENGGUNAAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN BAHASA ARAB KOMUNIKASI
(Penyelia : Ustaz Kamarulzaman Abdul Ghani)
ARMAN BIN MD. RUSOFF (2002)
ABSTRAK
Tujuan kajian ini ialah untuk melihat sejauh manakah persepsi pelajar terhadap
penggunaan pendekatan komunikatif dalam pengajaran Bahasa Arab Komunikasi di
SMKA Maahad Hamidiah, Kajang. Dalam kajian ini soal selidik digunakan untuk
mengumpul maklumat daripada 120 orang responden Tingkatan Empat yang telah
mengambil mata pelajaran Bahasa Arab komunikasi di peringkat Penilaian Menengah
Rendah (PMR). Data yang dikumpulkan dianalisis secara deskriptif dengan
menggunakan SPSS 9.5 bagi mendapatkan frekuensi, peratusan dan min. Tindak balas
responden diinterpretasi berdasarkan nilai min. Nilai min antara 1 hingga 2.4
dikategorikan sebagai negatif, 2.5 hingga 3.4 dikategorikan sebagai sederhana
dan 3.5 hingga 5.0 dikategorikan sebagai positif. Dapatan kajian ini menunjukkan
bahawa penglibatan responden dalam aktiviti komunikatif adalah sederhana (min
3.14). Persepsi responden terhadap kenyataan berkaitan pelaksanaan ciri dan
prinsip pendekatan komunikatif adalah pada tahap yang tinggi (min 3.64).
Responden juga bersetuju pada tahap sederhana (min 3.20) terhadap
masalah-masalah yang disenaraikan. Berdasarkan dapatan kajian, beberapa cadangan
telah dikemukakan untuk memperbaiki serta memantapkan pelaksanaan pendekatan
komunikatif serta cadangan bagi kajian lanjutan.