AMALAN MENUTUP AURAT SEMASA BERSUKAN DI KALANGAN PELAJAR
(Penyelia : Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff)
UMAR KHALIS BIN MAMAT (2007)
ABSTRAK
Tujuan utama kajian ini untuk mengenal pasti amalan menutup aurat di kalangan pelajar semasa bersukan di sekolah menengah zon Bandar Tun Abdul Razak, daerah Rompin, Pahang. Kajian ini telah dijalankan di sebuah sekolah menengah di zon Bandar Tun Abdul Razak iaitu SMK Keratong. Seramai 80 orang pelajar tingkatan lima aliran sains sukan terlibat sebagai responden. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah borang soal selidik. Proses pengumpulan data melalui borang soal selidik telah dilakukan oleh penyelidik sendiri. Data-data yang diperolehi melalui kajian ini telah dianalisis dengan menggunakan program SPSS for windows (Version 12.0). Data-data daripada borang soal selidik telah dianalisis menggunakan statistic diskriptif seperti min dan peratus. Ujian inferensi seperti Ujian Kolerasi Pearson juga digunakan untuk melihat perkaitan antara pemboleh ubah. Didapati tahap pengetahuan pelajar terhadap hukum menutup aurat adalah tahap tinggi. Manakala tahap pengamalan pelajar terhadap konsep menutup aurat semasa bersukan juga pada tahap tinggi. Keputusan kajian juga mencatatkan motivasi pelajar memilih pakaian semasa bersukan adalah atas kehendak agama dan persepsi pelajar terhadap tuntutan menutup aurat semasa bersukan adalah positif. Dapatan kajian juga menjelaskan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara pengetahuan pelajar terhadap hukum menutup aurat dengan pengamalan pelajar terhadap konsep menutup aurat. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara pengamalan pelajar terhadap konsep menutup aurat dengan persepsi pelajar terhadap tuntutan menutup aurat. Akhir sekali, kajian juga mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara pengetahuan pelajar terhadap hukum menutup aurat dengan persepsi pelajar terhadap tuntutan menutup aurat semasa bersukan.