AMALAN MEMBACA AL QURAN DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DAERAH PORT DICKSON
(Penyelia : Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff)
ZAHARAH BINTI BAHARI (2007)
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan membaca al-Quran di kalangan pelajar sekolah menengah daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap pengetahuan terhadap kelebihan membaca al Quran, tahap minat dan tahap kekerapan membaca al Quran. Kajian ini juga ingin melihat adakah terdapat hubungan antara pengetahuan kelebihan membaca al Quran, minat dan pencapaian Pendidikan Islam PMR dengan kekerapan membaca al Quran di kalangan pelajar. Kajian ini berbentuk tinjauan dan menggunakan satu set soal selidik bagi mengumpulkan data kajian. Jumlah sampel kajian adalah seramai 265 orang pelajar tingkatan empat yang dipilih secara rawak dari lima buah sekolah menengah kebangsaan di daerah Port Dickson. Data kajian yang dikumpul dan diproses dengan menggunakan program windows SPSS versi 12.0. Statistik deskriptif iaitu kekerapan, peratusan dan min telah digunakan untuk menjelaskan profil responden dan menjawab persoalan kajian. Sementara itu, statistik inferensi iaitu ujian Korelasi Pearson digunakan untuk melihat hubungan di antara pengetahuan kelebihan membaca al Quran dan kekerapan membaca al Quran dan hubungan antara minat dengan kekerapan membaca al Quran. Manakala ujian Korelasi Spearman pula digunakan untuk melihat hubungan antara pencapaian Pendidikan Islam PMR dengan kekerapan membaca al Quran. Secara umumnya kajian ini mendapati tahap pengetahuan kelebihan membaca al Quran dan tahap minat membaca al Quran di kalangan pelajar berada pada tahap tinggi. Manakala tahap kekerapan membaca al Quran adalah pada tahap sederhana tinggi. Hasil dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara pengetahuan kelebihan membaca al Quran dengan kekerapan membaca al Quran. Begitu juga terdapat hubungan yang positif antara minat dengan kekerapan membaca al Quran serta antara pencapaian Pendidikan Islam PMR dengan kekerapan membaca al Quran di kalangan pelajar.