GAYA PEMBELAJARAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN PENDIDIKAN ISLAM DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH

(Penyelia : Ustaz Kamarulzaman Abdul Ghani)

SARIMAH BINTI MOKHTAR (2005)

ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk (i) melihat gaya pembelajaran Pendidikan Islam di kalangan pelajar, (ii) melihat kesan gaya pembelajaran Pendidikan Islam kepada pencapaian Pendidikan Islam PMR 2004, (iii) melihat perbezaan gaya pembelajaran Pendidikan Islam antara pelajar berdasarkan jantina dan tahap pencapaian pelajar, (iv) melihat perbezaan gaya pembelajaran Pendidikan Islam mengikut kategori sekolah dan (v) melihat hubungan gaya pembelajaran Pendidikan Islam dengan pencapaian Pendidikan Islam PMR 2004. Sampel kajian terdiri daripada 120 orang pelajar tingkatan IV (60 lelaki dan 60 perempuan) dan empat buah sekolah menengah yang terdiri dan dua buah Seko1ah Menengah Agama (SMA) dan dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) terletak di daerah Hulu Langat, Selangor. Soal Selidik digunakan untuk mengenalpasti gaya pembelajaran pelajar dan mengenalpasti enam jenis gaya pembelajaran iaitu gaya pembelajaran visual, gaya pembelajaran auditori, gaya pembelajaran kinestetik, gaya pembelajaran kecekatan tangan, gaya pembelajaran berkumpulan dan gaya pembelajaran bersendirian. Kajian ini adalah merupakan satu kajian kes di mana data telah dikumpul secara kuantitatif dengan menggunakan perisian “The Statistical Package for Social Science (SPSS) “Versi 11.5”. Huraian tentang perkara yang dikaji adalah berbentuk deskriptif dan analisa korelasi pearson. Dapatan kajian menunjukkan gaya pembelajaran yang sering digunakan oleh pelajar mengikut turutan ialah gaya pembelajaran auditori, gaya pembelajaran kinestetik, gaya pembelajaran berkumpulan, gaya pembelajaran kecekatan tangan, gaya pembelajaran visual dan gaya pembelajaran bersendirian. Bagi kesan gaya pembelajaran kepada pencapaian Pendidikan Islam PMR 2004 menunjukkan gaya pembelajaran kecekatan tangan mendahului gaya pembelajaran yang lain dan diikuti oleh gaya pembelajaran bersendirian, gaya pembelajaran berkumpulan, gaya pembelajaran visual, gaya pembelajaran auditori dan gaya pembelajaran kinestetik. Dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam gaya pembelajaran bagi pelajar berlainan jantina (lelaki dan perempuan), pelajar cemerlang dengan pelajar lemah dan kategori sekolah (Sekolah Menengah Agama (SMA) dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Seterusnya dapatan kajian juga menunjukkan tidak wujud hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran Pendidikan Islam dengan pencapaian Pendidikan Islam PMR 2004.