GAYA PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM DI KALANGAN PELAJAR TINGKATAN EMPAT DI JAJAHAN KOTA BHARU KELANTAN

(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)

SITI NUR RAHIL AB RAHMAN @ AHMAD (2005)

ABSTRAK

Gaya pembelajaran merupakan faktor yang penting untuk menentukan pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Kajian ini bertujuan untuk melihat gaya pembelajaran Pendidikan Islam di kalangan pelajar Tingkatan Empat. Kaedah yang digunakan ialah kaedah tinjauan dengan menggunakan soal selidik. Sampel terdiri daripada 287 orang pelajar Tingkatan Empat di tiga buah sekolah bandar dan 3 buah sekolah luar bandar di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Alat kajian yang digunakan ialah Inventori Pembelajaran Di Sekolah oleh Selmes yang mengemukakan lima gaya pembelajaran iaitu gaya mendalam, gaya permukaan, gaya dorongan, gaya terancang dan gaya gigih usaha. Statistik deskriptif, ujian-t, korelasi dan ANOVA digunakan untuk mengolah data dan menjawab hipotesis kajian. Tumpuan kajian adalah untuk mengenal pasti perbezaan gaya pembelajaran, persepsi mengikut jantina, lokasi sekolah dan pencapaian dalam Pendidikan Islam. Kajian ini juga menentukan hubungan antara kelima-lima gaya pembelajaran dengan persepsi terhadap Pendidikan Islam. Umumnya, hasil kajian mendapati gaya pembelajaran dan persepsi terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam di kalangan pelajar Tingkatan Empat berada di tahap tinggi. Selain itu, wujud hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran mendalam, permukaan dan terancang dengan persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam. Tidak wujud hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dorongan dan gigih usaha dengan persepsi pelajar terhadap Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun tidak terdapat hubungan yang signifikan antara dua jenis gaya pembelajaran iaitu dorongan dan gigih usaha. Terdapat perbezaan yang signifikan antara gaya pembelajaran di kalangan pelajar Pendidikan Islam berdasarkan jantina dan pencapaian pelajar dalam Pendidikan Islam. Terdapat perbezaan yang signifikan antara persepsi pelajar terhadap Pendidikan Islam berdasarkan pencapaian pelajar dalam Pendidikan Islam.