KAJIAN TENTANG SIKAP GURU-GURU PELATIH BUKAN ISLAM TERHADAP KURSUS TAMADUN ISLAM. KAJIAN DI EMPAT MAKTAB PERGURUAN DI SARAWAK
(Penyelia : Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff)
ALEAS BIN MD ISA (1999)
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk melihat sikap guru-guru pelatih bukan Islam terhadap kursus Tamadun Islam di maktab perguruan. . Perhatian kepada faktor-faktor yang mempengaruhi sikap guru-guru pelatih bukan Islam terhadap kursus berkenaan, seperti persepsi terhadap kursus, kaedah penyampaian kursus dan sukatan kursus. Kajian menggunakan kaedah soal selidik sepenuhnya ke atas 400 orang guru pelatih bukan Islam dan empat buah maktab perguruan di Sarawak. Analisis data di peringkat spesifik dilakukan berdasarkan jumlah kekerapan dan peratusan. Analisis Pekali Kolerasi Pearson digunakan untuk melihat pertalian antara minat guru-guru pelatih terhadap kursus Tamadun Islam dengan beberapa pembolehubah bebas yang lain.Hasil kajian antaranya (a). Sebanyak 24.9% guru-guru pelatih bukan Islam yang berminat mengikuti kursus Tamadun Islam. (b). Sebanyak 12.6% yang akan mengambil kursus ini andainya kursus ini tidak diwajibkan. (c). Faktor tidak minat dipengaruhi oleh kaedah pengajaran , kandungan kursus serta salah persepsi pelatih terhadap kursus Tamadun Islam. (d).Berdasarkan bangsa dan agama tidak ada perbezaan signifikan berhubung minat guru-guru pelatih bukan Islam terhadap kursus Tamadun Islam. (e). Sukatan kursus Tamadun Islam dan fakta-fakta yang sukar difahami mempunyai pertalian signifikan dengan sikap negatif guru-guru pelatih bukan Islam terhadap kursus ini. (1). Pensyarah sentiasa bersemangat memberi kuliah tetapi suasana kuliah tidak hidup kerana tidak pelbagaikan kaedah dan tidak melibatkan pelatih mengambil bahagian bersama.Berdasarkan dapatan kajian, penyelidik mengemukakan cadangan-cadangan berhubung perlaksanaan kursus Tamadun Islam di maktab-maktab perguruan pada masa ini dan akan datang agar matlamat awal diwujudkan kursus ini di semua maktab-maktab perguruan mencapai hasilnya yang memuaskan.