KECERDASAN EMOSI DAN UNSUR-UNSUR KECERDASAN SPIRITUAL DI KALANGAN PELAJAR KUIM
(Penyelia : Dr. Saemah Rahman)
SALMIAH BT ISMAIL (2006)
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan bertujuan mengetahui profil kecerdasan emosi dan unsur-unsur kecerdasan spiritual di kalangan pelajar KUIM yang berlainan jantina, tahun pengajian dan program pengajian. Seramai 278 orang pelajar terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada pelajar tahun dua dan tiga serta empat program pengajian yang terpilih di Kolej Universiti Islam Malaysia. Kajian yang berbentuk tinjauan rentas ini menggunakan dua set soal selidik iaitu Inventori Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM) dan soal selidik unsur-unsur kecerdasan spiritual yang teiah diubah suai daripada Inventori Penghayatan Iman (IPI). Data yang diperolehi dianalisis menggunakan analisis deskriptif seperti min, peratus dan statistik inferensi seperti ujian multivariate of variance (MANOVA) dan pekali korelasi Pearson. Hasil kajian mendapati, domain motivasi kendiri menunjukkan skor min paling tinggi dan domain regulasi kendiri pula menunjukkan skor paling rendah. Bagi domain unsur-unsur kecerdasan spiritual pula, domain hubungan dengan pencipta lebih tinggi jika dibandingkan dengan domain hubungan sesama insan. Hasil kajian juga mendapati terdapat perbezaan skor min yang signifikan kecerdasan emosi dan unsur-unsur kecerdasan spiritual di kalangan pelajar lelaki dan perempuan di KUIM. Walau bagaimana pun, tiada perbezaan skor min yang signifikan kecerdasan emosi dan unsur-unsur kecerdasan spiritual pelajar tahun dua dan tiga serta pelajar dan program Syariah & Undang-Undang, Pengajian Quran & Sunnah, Dakwah & Pengurusan Islam serta Pentadbiran Ekonorni & Muamalat. Selain itu, wujudnya hubungan yang positif di antara kelima-lima domain kecerdasan emosi Goleman dengan domain-domain unsur-unsur kecerdasan spiritual pelajar.