KESEDIAAN PENTADBIR MELAKSANAKAN ELEMEN-ELEMEN STANDARD TINGGI KUALITI PENDIDIKAN DI SEKOLAH NEGERI MELAKA

(Penyelia : Dr. Hj. Mohammed Sani Bin Hj. Ibrahim)

MOHD. MASA’UD BIN MARZUKI (2005)

ABSTRAK

Kajian ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesediaan dan aspek pengetahuan, sikap, dan kemahiran pentadbir melaksanakan elemen-elemen Standard Tinggi Kualiti Pendidikan dalam pentadbiran sekolah. Satu soal selidik yang terdiri daripada dua bahagian digunakan sebagai instrumen kajian. Sampel kajian terdiri daripada 261 orang yang mewakili 480 pentadbir dan 66 buah sekolah di negeri Melaka. Alat kajian mempunyai nilai kebolehpereayaan 0.97. Statistik deskriptif untuk mencari frekuensi, peratusan, dan skor min telah digunakan. Manakala statistik inferen bagi ujian-t digunakan untuk melihat perbezaan antara jantina, kelulusan akademik, pengalaman mentadbir dan menghadiri kursus. Dapatan kajian menunjukkan (a) tahap kesediaan pentadbir adalah tinggi; (b) pengetahuan dan kemahiran pentadbir dalam melaksanakan tugas mengamalkan budaya penghargaan dan pengiktirafan di sekolah berada pada tahap yang tinggi; (c) pentadbir juga berada pada tahap yang tinggi dalam menunjukkan sikap bekerjasama dalam kumpulan; dan (d) menghadiri kursus tidak mempengaruhi tahap kesediaan pentadbir dan aspek sikap dan kemahiran. Pembolehubah jantina, kelulusan akademik, dan pengalaman pentadbir tidak mempengaruhi tahap kesediaan pentadbir dan aspek pengetahuan, sikap, dan kemahiran pentadbir. Dapatan kajian juga mendapati, faktor umur mempengaruhi tahap kesediaan dan aspek pengetahuan dan sikap, tetapi tidak mempengaruhi kemahiran pentadbir. Implikasi kajian menunjukkan pentadbir sekolah patut diberi peluang untuk meningkatkan pengetahuan secara berterusan bagi memahirkan diri dalam pentadbiran sekolah.