KESEDIAAN TERHADAP PENGGUNAAN KOMPUTER DI KALANGAN GURU-GURU PENDIDIKAN ISLAM: KAJIAN DI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI PAHANG

(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)

ZAID BIN ISMAIL (2006)

ABSTRAK


Tujuan utama kajian ini ialah untuk membincangkan tahap kesediaan guru-guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang terhadap penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini telah dijalankan di 15 buah sekolah menengah Agama di bawah kerajaan negeri Pahang. Seramai 82 orang yang terdiri daripada guru-guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah borang selidik guru. Proses pengumpulan data melalui borang selidik telah dilakukan oleh penyelidik sendiri. Data-data yang diperolehi melalui kajian ini telah dianalisis dengan menggunakan program SPSS for windows (Version 11.0). Data-data daripada borang soal selidik telah dianalisis menggunakan statistik diskriftif seperti min dan peratus. Beberapa ujian inferensi seperti T-Test, Anova, Spearman’s  rho Correlation  juga digunakan untuk melihat perbezaan antara beberapa pembolehubah bebas. Didapati bahawa tahap kesediaan terhadap penggunaan komputer di kalangan guru-guru Agama berada pada tahap tinggi iaitu 3.733. Manakala tahap kefahaman dan kemahiran terhadap penggunaan komputer berada pada tahap sederhana dengan bacaan min masing-masing ialah 3.270 dan 3.071. Keputusan kajian juga mencatatkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan perempuan dan segi kemahiran dan kesediaan menggunakan komputer. Kajian juga menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan antara kesediaan mengguna komputer berdasarkan umur. Terdapat juga perbezaan yang signifikan antara tahap kesedian guru berdasarkan pengalaman mengguna komputer dan kekerapan mengguna komputer. Dapatan kajian juga menjelaskan bahawa terdapat hubungan yang signifikan di antara kesediaan mengguna komputer dengan pengalaman menggunakan komputer dan kekerapan menggunakan komputer.