ORIENTASI SISTEM PENDIDIKAN DI SEKOLAH MENENGAH AGAMA BERASRAMA PENUH: KAJIAN KES BERKENAAN PEMBINAAN AKHLAK

(Penyelia : Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Noordin)

(1993)

MOHD ARIP BIN KASMO


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk meninjau sejauh mana orientasi sistem pendidikan di sekolah menengah agarna berasrama penuh mampu membina akhlak pelajar-pelajarnya seperti yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Sekolah Agama. Kajian ini dijalankan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan dengan menggunakan 280 orang pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Untuk menyempurnakan penyelidikan ini, penyelidik telah menyediakan soal selidik mengikut Skala Likert. Soalselidik ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu latar belakang pelajar, minat pelajar terhadap sekolah, program-program agama, amalan-amalan dan peranan ibubapa di rumah dalam membina akhlak pelajar. Soal selidik yang diberikan kepada ibubapa dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu latar belakang ibubapa, minat ibubapa terhadap program agama, dan pandangan ibubapa terhadap sekolah agama. Hasil penyelidikan ini menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara amalan pelajar di sekolah dan di rumah. Analisis mengikut jantina, aliran dan tingkatan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara amalan mereka di sekolah dan di rumah. Perbezaan yang signifikan dapat juga dilihat antara amalan pelajar putera dan puteri di sekolah. Hasil kajian ini juga mendapati factor yang paling utama dalam proses pembinaan akhlak pelajar ialah peranan ibubapa di rumah diikuti oleh program agama di sekolah.