PEMBACAAN AKTIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
(Dr. Ab. Halim Tamuri)
MOHD AZMAN BIN MOHD YUNOS (2005)
ABSTRAK
Kajian ini menguji keberkesanan strategi pembelajaran aktif melalui pembacaan
aktif dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Aspek
pencapaian, interaksi dan minat pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Islam melalui intervensi strategi pembacaan aktif berbanding strategi
konvensional ditekankan dalam kajian ini. Populasi kajian ini ialah pelajar
Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya, Johor Bahru. Seramai 60
orang pelajar yang terdiri daripada lelaki dan perempuan daripada 2 buah kelas
yang mempunyai pencapaian akademik yang sama dan sederhana dipilih secara
‘purposive sampling’ menjadi sampel dalam kajian ini. Reka bentuk kajian
menggunakan kaedah kuasi eksperimen ujian pra dan ujian pasca dua kumpulan, di
samping soal selidik yang digunakan sebagai instrumen sokongan untuk
mengenalpasti tahap interaksi dan minat pelajar terhadap strategi pembacaan
aktif yang dijadikan intervensi dalam strategi pembelajaran mereka. Dapatan
menunjukkan bahawa strategi pembelajaran aktif melalui pembacaan aktif boleh
meningkatkan pencapaian pelajar di dalam subjek Pendidikan Islam di samping
faktor tuisyen yang membantu tahap kefahaman mereka dalam pembelajaran. Kajian
ini juga mendapati strategi ini mampu membentuk pembinaan kumpulan di mana
pelajar saling berkenalan, mewujudkan interaksi dan kerjasama antara satu sama
lain. Strategi ini mampu mendorong penglibatan pembelajaran segera oleh pelajar
kerana faktor minat berjaya dibentuk dalam proses permulaan sesuatu bidang
pelajaran.