PENGAJARAN PENGAJIAN ISLAM DALAM PEMBENTUKAN AKHLAK DAN SIKAP PELAJAR IPTS : KAJIAN DI KOLEJ YAYASAN MELAKA

(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)

MOHAMAD FAISAL BIN HJ. AHMAD (2005)


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan mengkaji kesan pengajaran mata pelajaran Pengajian Islam terhadap perubahan sikap, akhlak dan tingkah laku pelajar di IPTS terutama di Kolej Yayasan Melaka. Responden utama kajian ini terdiri daripada 100 orang pelajar program Diploma yang mengambil mata pelajaran Pengajian Islam pada semester Julai 2005. Kajian ini menggunakan satu set soal selidik untuk mendapat data daripada responden berhubung dengan persepsi mereka terhadap tahap peningkatan kefahaman dan kesedaran Islam, persepsi terhadap mata pelajaran Pengajian Islam, persepsi terhadap pensyarah Pengajian Islam, aktiviti seharian dan ajaran Islam itu sendiri. Program SPSS 11.0 telah digunakan untuk menganalisis data yang diperolehi. Sebanyak 50 soalan telah dikemukakan kepada responden yang meliputi pembolehubah bersandar iaitu mencakupi peningkatan kefahaman dan kesedaran Islam, persepsi responden terhadap mata pelajaran Pengajian Islam, pensyarah Pengajian Islam, aktiviti seharian dan persepsi terhadap ajaran Islam. Min keseluruhan bagi peningkatan kefahaman dan kesedaran Islam adalah 4.41, persepsi terhadap mata pelajaran Pengajian Islam adalah 4.29, persepsi terhadap pensyarah adalah 4.55, persepsi terhadap aktiviti seharian adalah 4.74 dan persepsi terhadap ajaran Islam adalah 4.12. Pembolehubah dikaji dan aspek jantina dan latar belakang pendidikan sebagai pengaruh kepada perubahan persepsi pelajar. Hasil kajian ini mendapati pembolehubah bebas tidak banyak mempengaruhi pembolehubah bersandar berdasarkan kepada ujian t pada paras signifikan 0.05. Kajian ini juga mendapati mata pelajaran Pengajian Islam meninggalkan kesan yang positif berdasarkan min keseluruhan dan peratusan terhadap perubahan sikap pelajar di Kolej Yayasan Melaka.