PENGGUNAAN ICT DI KALANGAN GURU PENDIDIKAN ISLAM : KAJIAN DI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DAERAH ROMPIN
(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)
WAN KHAIRUDDIN BIN WAN YAHYA (2006)
ABSTRAK
Tujuan utama kajian ini untuk membincangkan tentang penggunaan ICT guru-guru pendidikan Islam dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah daerah Rompin, Pahang. Kajian ini telah dijalankan di 14 buah sekolah menengah di daerah Rompin. Seramai 77 orang guru pendidikan Islam terlibat sebagai responden. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah borang soal selidik. Proses pengumpulan data melalui borang soal selidik telah dilakukan oleh penyelidik sendiri. Data-data yang diperolehi melalui kajian ini telah dianalisis dengan menggunakan program SPSS for windows (Version 11.0). Data-data daripada borang soal selidik telah dianalisis menggunakan statistik diskriptif seperti min dan peratus. Beberapa ujian inferensi seperti T-test, Anova, Spearman rho Correlation juga juga digunakan untuk melihat perbezaan dan perkaitan antara pembolehubah bebas. Di dapati tahap penggunaan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran berada pada tahap tinggi iaitu 3.8809. Manakala tahap pengetahuan dan kemahiran berada pada tahap sederhana iaitu 3.579 dan 3.3546. Keputusan kajian juga mencatatkan terdapat perbezaan pengetahuan dan kemahiran tentang ICT berdasarkan jantina. Terdapat juga perbezaan antara kemahiran menggunakan ICT berdasarkan pengalaman mengajar. Dapatan kajian juga menjelaskan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran dengan pendedahan, penggunaan dan persepsi terhadap ICT. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kekerapan menggunakan ICT semasa proses pengajaran pembelajaran dengan kemahiran dan persepsi terhadap ICT.