PENGUASAAN
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF DI KALANGAN PELAJAR-PELAJAR
PENDIDIKAN ISLAM
DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PUCHONG PERDANA, SELANGOR
(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)
WAN YUSOF BIN WAN SULONG (2003)
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap penguasaan pelajar dalam kemahiran
berfikir berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dan mengenal pasti kelemahan
yang dihadapi oleh guru ketika melaksanakan KBKK. Kemahiran yang difokuskan
dalam kajian ini ialah kemahiran mengumpul dan mengelas daripada domain
Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan kemahiran menghubungkait daripada domain
Kemahiran Berfikir Secara Kreatif. Kajian ini dijalankan di SMK Puchong Perdana
yang melibatkan seramai 140 orang pelajar yang dipilih berdasarkan persampelan
rawak berlapis dan juga sembilan orang guru Pendidikan Islam. Data yang
diperolehi melalui dua instrumen iaitu soalan ujian KBKK dan protokol temu bual.
Soalan-soalan ujian KBKK dianalisis dengan menggunakan ujian tidak berparameter
iaitu, ujian Mann-Whitney, ujian Kruskal-WaIIis dan Spearman Rho. Manakala data
temu bual dianalisis secara manual dengan mengeluarkan tema-tema penting. Hasil
analisis ujian Mann-Whitney yang dilakukan menunjukkan terdapat perbezaan yang
signifikan bagi kemahiran mengumpul dan mengelas dan kemahiran menghubungkait
mengikut aliran. Analisis ujian Kruskal-Wallis menunjukkan terdapat perbezaan
yang signifikan bagi kemahiran mengumpul dan mengelas dan kemahiran
menghubungkait mengikut pencapaian PMR. Hasil ujian Spearman Rho juga mendapati
terdapat perkaitan yang kuat antara kemahiran mengumpul dan mengelas dengan
kemahiran menghubungkait. Hasil kajian juga mendapati terdapat dua belas masalah
yang dikenalpasti dalam pelaksanaan KBKK di kalangan pelajar-pelajar Pendidikan
Islam.