PENILAIAN PELAJAR TERHADAP KEPIMPINAN GURU PENDIDIKAN ISLAM: SATU KAJIAN DI DAERAH KUALA SELANGOR

(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)

MASRIBANUN BT DUKI (2004)

ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penilaian pelajar terhadap kepimpinan guru Pendidikan Islam di daerah Kuala Selangor. Tumpuan kajian adalah untuk melihat tahap kepimpinan guru Pendidikan Islam dan aspek contoh teladan, bimbingan dan kasih sayang. Kajian ini juga adalah untuk meninjau tahap penglibatan pelajar dalam aktiviti keagamaan serta hubungannya dengan penilaian tahap kepimpinan guru Pendidikan Islam. Kajian ini berbentuk tinjauan yang melibatkan 140 orang responden daripada 4 buah sekolah di daerah Kuala Selangor. Sampel kajian dipilih berdasarkan persampelan rawak mudah. Alat kajian ialah satu set borang soal selidik dan sesi temu bual terhadap 10 orang responden. Data dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif untuk memdapatkan kekerapan, peratusan dan min. Hipotesis kajian diuji dengan Kolerasi Pearson, Ujian-t dan Anova Satu Hala. Hasil utama kajian ini mendapati bahawa tahap kepimpinan guru Pendidikan Islam sama ada berdasarkan contoh teladan, bimbingan atau kasih sayang adalah berada di tahap sederhana. Tahap penglibatan pelajar dalam aktiviti keagamaan dalam kajian ini juga berada di tahap sederhana. Hasil kajian mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan penilaian pelajar terhadap kepimpinan guru Pendidikan Islam berdasarkan jantina, pencapaian dalam Pendidikan Islam PMR dan aliran pelajar. Dapatan kajian ini juga mendapati wujud hubungan di antara penilaian pelajar terhadap kepimpinan guru Pendidikan Islam dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti keagamaan.