PRINSIP-PRINSIP DAN AMALAN  GURU DALAM PENGAJARAN PENDIDIKAN AKIDAH SEKOLAH RENDAH

(PENYELIA : Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff)

MOHD MUHSINUL NIDZAM BIN ABDULLAH (2006)


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap pengetahuan prinsip dan amalan guru pendidikan Islam dalam pengajaran pendidikan akidah di sekolah terpilih di zon Kajang dan Semenyih, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Kajian inii melibatkan seramai 115 orang responden. Kajian juga bertujuan untuk melihat adakah terdapat perbezaan dan kesan interaksi antara kelulusan, pengalaman dan kekerapan menghadiri kursus ke atas tahap pengetahuan prinsip dan amalan guru. Juga untuk melihat adakah terdapat hubungan di antara tahap pengetahuan dan amalan guru dalam pengajaran. Kajian ini berbentuk tinjauan dan menggunakan set soal selidik bagi mengumpulkan data kajian. Data kajian yang dikumpul dan diproses dengan menggunakan program SPSS versi 12.0. Statistik deskriptif iaitu frekuensi, peratusan dan min telah digunakan untuk menjelaskan profil responden dan menjawab persoalan kajian. Sementara itu, statistik inferensi iaitu Ujian MANOVA digunakan untuk melihat perbezaan di antara tahap pengetahuan dan amalan guru berdasarkan kelulusan, pengalaman mengajar dan kekerapan menghadiri kursus. Ujian MANOVA juga digunakan untuk melihat kesan interaksi antara ketiga-tiga pembolehubah bebas ke atas pembolehubah bersandar. Manakala Ujian Korelasi Pearson pula digunakan untuk melihat hubungan di antara pengetahuan dan tahap kekerapan amalan pengajaran guru. Secara umumnya kajian ini mendapati bahawa tahap pengetahuan prinsip di kalangan guru berada pada tahap tinggi, manakala tahap amalan guru pula berada pada tahap sederhana tinggi. Kajian juga mendapati kelulusan dan pengalaman mengajar tidak mempengaruhi tahap pengetahuan prinsip dan amalan guru. Namun begitu kajian mendapati kekerapan menghadiri kursus telah mempengaruhi tahap amalan walaupun Ia tidak mempengaruhi tahap pengetahuan. Di samping itu, kajian juga mendapati tidak terdapat kesan interaksi yang signifikan antara kelulusan, pengalaman dan kekerapan menghadiri kursus ke atas tahap pengetahuan prinsip dan amalan guru. Akhir sekali, kajian mendapati terdapat hubungan path tahap yang rendah antara tahap pengetahuan prinsip dengan amalan guru pendidikan Islam sekolah rendah dalam pengajaran pendidikan akidah.