SIKAP PELAJAR TERHADAP MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM : SATU KAJIAN DI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DAERAH ALOR GAJAH MELAKA

(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)

AIIRI BIN ABU BAKAR (2003)

ABSTRAK


Kajian ini adalah bertujuan untuk mengetahui sejauhmanakah sikap pelajar-pelajar terhadap Pendidikan Islam dan guru Pendidikan Islam. Sikap pelajar ini dilihat daripada beberapa pembolehubah seperti aspek jantina, pencapaian Pendidikan Islam PMR, tahap pendidikan ibu/bapa/penjaga dan lokasi sekolah. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan instrumen soal selidik yang mengandungi tiga bahagian utama iaitu latar belakang responden kajian, sikap pelajar terhadap Pendidikan Islam dan sikap pelajar terhadap guru Pendidikan Islam. Seramai 415 pelajar Tingkatan IV dipilih dan empat buah sekolah menengah Daerah Alor Gajah, Melaka. Data yang telah diperolehi ini dianalisis berdasarkan kekerapan, peratusan dan perbandingan min kajian dengan menggunakan program komputer SPSS for Windows. Keputusan kajian menunjukkan secara keseluruhannya para pelajar mempuyai sikap yang kurang memuaskan terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam dan guru Pendidikan Islam.Ini berdasarkan kepada nilai min keseluruhan sikap pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam adalah 2.71 dan min sikap pelajar terhadap guru Pendidikan Islam pula adalah sebanyak 2.50. Dapatan kajian ini juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara sikap pelajar terhadap Pendidikan Islam dengan sikap pelajar terhadap guru Pendidikan Islam. Justeru itu, sebagai guru Pendidikan Islam, mereka seharusnya memperlengkapkan diri dan mempertingkatkan kualiti pengajaran Pendidikan Islam di dalam kelas.