SIKAP PENSYARAH DAN PELAJAR FAKULTI SAINS UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) TERHADAP PENGGUNAAN INTERNET DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

(Penyelia : Prof. Madya Rashidi Azizan)

ZUHAIRUSNIZAM BIN MD. DARUS (2001)

ABSTRAK


Penggunaan Internet dalam pendidikan telah mendapat perhatian di Malaysia terutama di sekolah dan universiti yang berminat terhadap penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji sikap dan tanggapan pensyarah serta pelajar Fakulti Sains, Universiti Teknologi MARA terhadap penggunaan internet sebagai bahan bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Satu soal selidik yang mengandungi 31 item telah diedarkan kepada 42 pensyarah dan 119 pelajar. Data yang didapati telah dianalisis dengan menggunakan Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS). Frekuensi dan peratus digunakan untuk menerangkan profil responden. Ujian-t digunakan untuk melihat perbezaan sikap terhadap penggunaan Internet sebagai bahan bantu dalam pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pensyarah dan pelajar menyatakan WWW adalah aspek/aplikasi internet yang paling berguna sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran. Terdapat juga perbezaan yang signifikan antara tanggapan pensyarah dan pelajar terhadap minat untuk menggunakan internet sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran. Tanggapan pensyarah dan pelajar juga mempunyai perbezaan yang signifikan tehadap penggunaan internet dalam mengantikan buku rujukan sebagai bahan bantu pengajaran. Pensyarah menyatakan internet tidak boleh menggantikan buku rujukan sebagai bahan bantu pengajaran sepenuhnya., Kajian ini menunjukkan pensyarah dan pelajar mendapati internet adalah berguna, efektif dan, mereka suka untuk menggunakan internet sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran.