SIKAP TERHADAP KURSUS PENGAJIAN ISLAM : SATU TINJAUAN DALAM KALANGAN PELAJAR BERAGAMA ISLAM
DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI SWASTA DI KAJANG, SELANGOR DARUL EHSAN

(Penyelia : Dr. Hj. Maimun Aqsha Lubis)

ROKIAH BINTI ABDULLAH (2006)

ABSTRAK


Langkah penawaran kursus Pengajian Islam sebagai kursus wajib bagi semua pelajar beragama Islam di IPTS adalah satu langkah wajar. Ini adalah kerana ia merupakan sebahagian usaha untuk merealisasikan matlamat dan objektik Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh yang demikian, usaha menjalankan kajian tentang pelaksanaan dan keberkesanan kursus tersebut juga perlu dijalankan. Justeru, kajian ini dijalankan atas tujuan untuk mengenalpasti sikap para pelajar IPTS di Kajang Selangor terhadap kursus Pengajian Islam. Responden kajian ini berjumlah 285 orang pelajar yang terdiri daripada para pelajar di tiga buah IPTS di Kajang iaitu; UNITEN, KLIUC dan Kolej Strategi. Kajian ini menggunakan soal selidik sebagai alat kajian untuk mengumpul data berkaitan sikap pelajar terhadap kursus Pengajian Islam serta ibadah solat dan akhlak Islam. Seterusnya data-data yang diperolehi dianalis menggunakan pakej SPSS 12.0 yang menggunakan statistik deskriptif dan inferensi seperti frekuensi, peratusan, min, sisihan piawai, korelasi Pearson, Ujian t dan ANOVA sehala. Hasil kajian mendapati para pelajar IPTS terbabit mempunyai sikap yang amat positif terhadap kursus Pengajian Islam, ibadah solat dan akhlak Islam. Selanjutnya, kajian juga mendapati tidak terdapat perbezaan sikap yang signifikan terhadap kursus Pengajian Islam berdasarkan jantina dan jenis institusi. Manakala tidak terdapat perbezaan sikap yang signifikan terhadap ibadah solat berdasarkan faktor jantina tetapi wujud perbezaan sikap terhadap ibadah tersebut dalam faktor umur. Dalam pada itu, kajian juga mendapati terdapat perbezaan sikap yang signifikan terhadap akhlak Islam berdasarkan faktor jantina sebaliknya tiada perbezaan berdasarkan faktor umur. Selanjutnya, menerusi ujian korelasi Pearson, kajian mendapati bahawa terdapat hubungan yang sederhana antara sikap terhadap kursus Pengajian Islam dengan sikap terhadap ibadah solat dan akhiak Islam. Namun begitu, terdapat hubungan yang tinggi antara sikap terhadap ibadah solat dengan sikap terhadap akhlak Islam.