TAHAP PENGGUNAAN KOMPUTER DI KALANGAN PENSYARAH PENGAJIAN ISLAM : SATU KAJIAN DI KOLEJ UGAMA
SULTAN ZAINAL ABIDIN DAN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

(Penyelia : Dr. Ab. Halim Tamuri)

NORHATIMAH BINTI MOHAMAD (2005)

ABSTRAK


Tujuan utama penyelidikan ialah untuk mengkaji tahap penggunaan komputer di kalangan pensyarah Pengajian Islam. Kajian berbentuk tinjauan (survey) ini telah dijalankan di dua buah institusi iaitu di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Dua instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ialah borang soal selidik dan protokol temubual di kalangan pensyarab Pengajian Islam. Bagi borang soal selidik, seramai 80 orang pensyarah terlibat bagi kedua-dua institusi. Penyelidik juga telah mengadakan temubual dengan 10 orang pensyarah iaitu 5 orang pensyarah di KUSZA dan 5 orang lagi di KUIS. Proses pengumpulan data melalui borang soal selidik telah dilakukan oleh penyelidik sendiri. Data-data yang diperolehi melalui kajian ini telah dianalisis dengan menggunakan program SPSS for Windows (Version 11.5). Data-data daripada borang soal selidik telah dianalisis dengan menggunakan statistik diskriptif seperti peratus, frekuensi dan min. Beberapa ujian inferensi seperti T-Test dan Pearson’s Correlation juga digunakan untuk melihat perbezaan antara beberapa pembolehubah bebas. Penganalisan secara kualitatif dan kuantitatif telah dibuat untuk data-data yang diperolehi melalui temubual di kalangan pensyarah Pengajian Islam di KUSZA dan KUIS.