P409. Suriani Shaari – Ustaz Shahrin Awaludin
SATU kajian tentang pembentukan akhlak pelajar menurut pandangan Imam al-Ghazali.
Abstrak
Kajian ini juga bertujuan untuk meninjau aspek-aspek dan ciri-ciri pembentukan akhlak serta pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk diaplikasikan dalam membentuk akhlak pelajar. Kajian ini adalah berbentuk deskriptif iaitu kajian perpustakaan dengan membuat rujukan daripada hasil-hasil karya penulisan Imam al-Ghazali dan rujukan bahan penulisan yang berkaitan dengan kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa akhlak menurut Imam al-Ghazali adalah sesuatu tindakan atau perbuatan yang lahir dari keadaan dalaman (rohani) seseorang. Sesuatu perbuatan atau tingkah laku hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga menjadi satu kebiasaan dalam diri seseorang. Manakala pembentukan akhlak pula adalah proses mengubah sifat daripada yang buruk kepada sifat yang baik. Akhlak terhadap Allah dan Rasul, akhlak terhadap ibu bapa, akhlak terhadap guru dan akhlak terhadap kehidupan seharian merupakan aspek-aspek utama pembentukan akhlak pelajar. Manakala kesopanan dan kesederhanaan, kesopanan dan disiplin dalam pergaulan, menjauhi perbuatan tercela dan mempelajari syariat agama Islam adalah ciri-ciri pembentukan akhlak yang ditekankan oleh beliau. Hasil kajian juga telah mendapati tiga pendekatan utama telah dianjurkan iaitu kaedah latihan, kaedah pemerhatian dan pergaulan dan kaedah muhasabah diri. Hasil kajian ini diharapkan dapat memberikan idea dan cadangan kepada pihak-pihak tertentu termasuk pelajar sendiri, ibu bapa, guru dan masyarakat untuk menangani masalah kemerosotan akhlak di kalangan pelajar hari ini. Justeru, usaha untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia akan tercapai selaras dengan matlamat utama Pendidikan Islam.