P153. Hasnah Nik Hassan (Penyelia : Prof. Madya Dr. Nor Azizah Mohd Salleh)
PENDEKATAN pengajaran Tasawwur Islam di sekolah menengah kebangsaan di Wilayah Persekutuan.
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui pandangan guru dan pelajar mengenai pendekatan pengajaran Tasawwur Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan di Wilayah Persekutuan. Kajian ini dijalankan secara deskriptif terhadap guru-guru yang mengajar Tasawwur Islam, manakala pelajar pula dijalankan secara tinjauan iaitu secara "purposeful" terhadap pendekatan guru. Kajian ke atas kedua-dua sampel dijalankan secara soal-selidik. Kajian ini dijalankan ke atas semua guru iaitu seramai 26 orang yang mengajar Tasawwur Islam dari 18 buah Sekolah Menengah di Wilayah Persekutuan. Manakala sampel pelajar pula iaitu seramai 40 orang yang dipilih dari 4 buah Sekolah Menengah di Wilayah Persekutuan yang telah mempelajari Tasawwur Islam sejak dari tingkatan 4. Mengikut pandangan guru ianya difokuskan kepada lapan pendekatan iaitu: set induksi, aktiviti-aktiviti dalam pengajaran, alat bantu mengajar, langkah-langkah membuat kesimpulan, penilaian kendiri, bagaimana guru membuat penilaian kendiri dan tindakan susulan sekiranya masih ada kelemahannya. Manakala pelajar pula difokuskan kepada empat perkara iaitu kaedah pengajaran guru, kemahiran menerang dan menyampaikan isi pelajaran oleh guru, penggunaan sumber bahan pengajaran dan kemahiran menyoal guru. Statistik deskriptif (frekuensi, mod dan peratusan) digunakan bagi analisis data dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan ketujuh-tujuh aspek yang dilakukan oleh guru adalah sejajar dengan prinsip pengajaran berkesan kecuali dalam penggunaan alat bantu mengajar yang masih lagi menggunakan cara lama. Begitu juga dengan pelajar yang menunjukkan persetujuan positif ke atas tiga perkara iaitu kaedah kemahiran guru, kemahiran menerang dan menyampaikan isi-isi pelajaran dan kemahiran menyoal oleh guru. Akan tetapi dari aspek penggunaan sumber bahan pengajaran antara tiga yang dinyatakan hanya satu sahaja iaitu buku rujukan yang selalu digunakan. Manakala dua lagi iaitu gambarajah dan foto, slaid dan transparensi, penggunaannya masih terbatas dan kurang memuaskan. Hasil dari kajian ini pengkaji telah membuat beberapa cadangan untuk diteruskan dan dimanfaatkan oleh pihak guru.