MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA
ARAB
DI MAKTAB RENDAH SAINS MARA (MRSM) TERENDAK
(Penyelia : Ustaz Abdul Raof Dalip)
AB. GANI BIN JALIL (1993)
FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
ABSTRAK
Kajian ini
dijalankan untuk menentukan masalah-masalah pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Arab di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)
Terendak. Di samping itu, kajian ini juga cuba mengenal
pasti faktor-faktor yang menjadi punca kelemahan pengajaran
bahasa tersebut. Sampel kajian ini terdiri daripada 89 orang
pelajar dan dua orang guru Bahasa Arab di MRSM Terendak.
Hasil kajian ini menunjukkan
bahawa walaupun pelajar-pelajar MRSM Terendak adalah dalam
bidang sains, tetapi mereka mempunyai kesediaan asas untuk
mempelajari Bahasa Arab dari segi penggunaan tulisan Jawi
semasa mereka mempelajari Pengetahuan Agama Islam di sekolah
rendah. Mereka juga telah mula membaca Quran dari guru
Quran, ibu bapa atau guru agama sejak peringkat pra-sekolah
hingga ke sekolah rendah. Dari segi pencapaian dalam Bahasa
Arab semasa di MRSM, 89.0% daripada mereka lulus ujian MRSM
Tingkatan 3 dan 86.5% lulus ujian Sijil Rendah Pelajaran (SRP).
Kajian ini juga mendapati pelajar-pelajar tidak jelas
tentang matlamat pembelajaran Bahasa Arab. Sebahagian besar
daripada mereka mempunyai minat yang rendah, tidak
bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran Bahasa Arab ke
peringkat lebih tinggi, tidak mempunyai peluang bertutur dan
mengamalkan apa yang telah dipelajari di dalam atau di luar
kelas. Mereka juga sukar memperolehi bahan-bahan bacaan
dalam Bahasa Arab.
Kajian ini
juga mendapati guru-guru kurang menggunakan alat bantu
mengajar. Mereka juga sukar memperolehi bahan-bahan bacaan
di dalam Bahasa Arab, kurang mendapat latihan dalam bidang
pengajaran Bahasa Arab, tetapi mempunyai pengalaman mengajar
Bahasa Arab. Mereka menggunakan kaedah gabungan antara
kaedah nahu-terjemahan dengan kaedah terus yang memberi
peluang kepada guru-guru bertutur di dalam Bahasa Melayu
semasa pengajaran. Seterusnya, kajian ini mendapati masa
pengajaran selama 80 minit seminggu adalah tidak mencukupi.
Para guru dan juga pelajar didapati tidak mengadakan
aktiviti-aktiviti ko-kurikulum bagi Bahasa Arab.