P333. Arman Md. Rusoff – Ustaz Kamarulzaman Abd. Ghani
PERSEPSI pelajar terhadap penggunaan pendekatan komunikatif dalam pengajaran bahasa arab komunikasi
Abstrak
Tujuan kajian ini ialah untuk melihat sejauh manakah persepsi pelajar terhadap penggunaan pendekatan komunikatif dalam pengajaran Bahasa Arab Komunikasi di SMKA Maahad Hamidiah, Kajang. Dalam kajian ini soal selidik digunakan untuk mengumpul maklumat daripada 120 orang responden Tingkatan Empat yang telah mengambil mata pelajaran Bahasa Arab komunikasi di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR). Data yang dikumpulkan dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan SPSS 9.5 bagi mendapatkan frekuensi, peratusan dan min. Tindak balas responden diinterpretasi berdasarkan nilai min. Nilai min antara 1 hingga 2.4 dikategorikan sebagai negatif, 2.5 hingga 3.4 dikategorikan sebagai sederhana dan 3.5 hingga 5.0 dikategorikan sebagai positif. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penglibatan responden dalam aktiviti komunikatif adalah sederhana (min 3.14). Persepsi responden terhadap kenyataan berkaitan pelaksanaan ciri dan prinsip pendekatan komunikatif adalah pada tahap yang tinggi (min 3.64). Responden juga bersetuju pada tahap sederhana (min 3.20) terhadap masalah-masalah yang disenaraikan. Berdasarkan dapatan kajian, beberapa cadangan telah dikemukakan untuk memperbaiki serta memantapkan pelaksanaan pendekatan komunikatif serta cadangan bagi kajian lanjutan.