PENCAPAIAN TILAWAH AL-QURAN
MELALUI
PENGGUNAAN KAEDAH IQRA DI
SEKOLAH-
RENDAH KEBANGSAAN DAERAH
SETIU,
TERENGGANU
(Penyelia : Ustaz Shahrin Awaluddin)
194
(2003)
MOHAMMAD NAIM MAT SALLEH
FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN
MALAYSIA
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap pencapaian kemahiran bacaan al-Quran berasaskan penggunaan kaedah Iqra di kalangan murid-murid tahun lima sekolah-sekolah rendah kebangsaan di daerah Setiu, Terengganu. Kajian dijalankan dalam bentuk tinjauan yang menggunakan soal selidik, ujian pencapaian dan temubual sebagai alat mengumpul maklumat. Soal selidik digunakan untuk mengenal pasti latar belakang murid merangkumi jantina, kedudukan sekolah, pembelajaran al-Quran di luar waktu sekolah, taraf pendidikan keluarga, tempat tinggal dan pemilikan buku Iqra. Temubual diadakan dengan guru-guru pendidikan Islam bagi mendapat gambaran jelas tentang persepsi guru-guru terhadap pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran dengan menggunakan kaedah Iqra. Kajian ini melibatkan seramai 237 orang murid dan 20 orang guru dari sekolah-sekolah rendah kebangsaan daerah Setiu, Terengganu. Satu set ujian bacaan yang mengandungi enam tahap buku Iqra iaitu dari buku Iqra 1 hingga buku Iqra 6 disediakan kepada murid-murid tersebut iaitu ujian membaca huruf-huruf tunggal Hijiayyah Arab berbaris atas, ujian membaca huruf-huruf sambung, ujian membaca kalimah dan ayat-ayat pendek al-Quran berbagai baris. Dapatan utama kajian menunjukkan 49.8% murid boleh membaca al-Quran, manakala 50.2% murid masih tidak boleh membaca al-Quran dengan 35.4% adalah masih berada di tahap buta huruf al-Quran. Kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina, bersekolah agama petang, mengaji di rumah, dan pemilikan buku Iqra dengan pencapaian tilawah al-Quran. Manakala tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kedudukan sekolah dengan tahap pencapaian tilawah al-Quran.