P123.
Misnan Jemali (Penyelia : Ustaz Nik Rahimi Nik Yusuf)
HUBUNGAN antara gaya pembelajaran dengan
pencapaian bahasa Arab komunikasi sekolah menengah rendah di
negeri Perak
Abstrak
Gaya
pembelajaran merupakan salah satu faktor penting yang
menentukan pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Tujuan
kajian ini adalah untuk menentukan gaya pembelajaran di
kalangan pelajar Bahasa Arab sekolah menengah rendah,
hubungan intra gaya pembelajaran, hubungan antara gaya
pembelajaran dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa
Arab Penilaian Menengah Rendah (PMR), perbezaan gaya dan
pendekatan pembelajaran mengikut pencapaian akademik dan
perbezaan gaya pembelajaran mengikut jantina dan lokasi.
Empat gaya pembelajaran yang dikaji ialah hafalan,
perbincangan, latihan dan motivasi. Kajian ini menggunakan
kaedah tinjauan semasa dan sampelnya terdiri daripada 200
pelajar tingkatan empat di 6 buah sekolah di negeri Perak.
Data dianalisis dengan menggunakan pakej SPSS untuk
menentukan korelasi intra dan antara stail pembelajaran
dengan pencapaian akademik serta ujian-t untuk melihat
perbezaan gaya dan pendekatan pembelajaran mengikut
pencapaian akademik. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa
walaupun wujud hubungan positif antara keempat-empat gaya
pembelajaran, hubungan antara gaya hafalan dan latihan
adalah lebih kuat. Begitu juga hubungan antara gaya
perbincangan dan latihan, dan hubungan antara hafalan dan
perbincangan adalah positif. Hasil analisis min menunjukkan
pelajar-pelajar lebih banyak menggunakan gaya pembelajaran
motivasi berbanding dengan gaya hafalan, perbincangan dan
latihan. Kajian ini juga mendapati pelajar-pelajar cemerlang
dalam Bahasa Arab (PMR), lebih banyak menggunakan pendekatan
hafalan dan latihan. Berdasarkan jantina, hasil analisis min
menunjukkan pelajar-pelajar perempuan menguasai semua gaya
pembelajaran berbanding dengan pelajar-pelajar lelaki.
Berdasarkan lokasi sekolah pula, min pelajar-pelajar bandar
menguasai semua gaya pembelajaran berbanding dengan pelajar
luar bandar. Implikasi kajian ini kepada guru-guru Bahasa
Arab dicadangkan agar disepadukan keempat-empat gaya
pembelajaran, iaitu gaya hafalan, gaya perbincangan, gaya
latihan dan gaya motivasi, tujuannya ialah untuk melatih
bagi menguasai kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar,
bertutur, membaca dan menulis.