|
Program j-QAF
adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam
pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang dilaksanakan di
peringkat sekolah rendah. Pelaksanaan j-QAF menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan,
bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid.
Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.
OBJEKTIF PROGRAM j-QAF
Setelah program
ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan, semua murid Islam sekolah rendah akan
dapat:
-
Menguasai bacaan dan tulisan jawi
-
Khatam al-Quran
-
Menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi
-
Memantapkan dan menghayati
amalan Fardhu Ain
KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF
Program j-QAF
menjadi lebih penting sebagai suatu usaha ke arah memperkasakan PI yang sedia
ada supaya semua bidang dalam PI iaitu bidang Tilawah al-Qur’an, bidang Aqidah,
Ibadah, Sirah Nabawi Akhlak dan Jawi lebih berkesan dan dapat dihayati dan
diamalkan dalam kehidupan.
1.
Pemulihan Jawi
Jawi adalah
sebahagian daripada komponen pendidikan Islam dan mula dilaksanakan pada tahun
2003 dengan pendekatan pengajaran 2 waktu seminggu pada 6 bulan pertama di tahun
satu.
Laporan pemantauan mengenainya mendapati penguasaan bacaan dan tulisan Jawi
perlu dibaiki lagi.
Ini bermakna jawi
dalam pendidikan Islam semata- mata masih belum mencukupi dan berkesan. Oleh itu
pemulihan Jawi dalam j-QAF menjadi keutamaan khasnya kepada murid tercicir
supaya semua murid boleh menguasai Jawi setelah diberi bimbingan secara
berterusan.
2.
Kepentingan Khatam al-Qur’an
al-Quran pula
telah diajar sebagai sebahagian Pendidikan Islam dalam bidang Asuhan Tilawah
al–Quran pada masa ini. Namun ia tidak menekankan pembelajaran sehingga khatam
al-Quran kerana ia memerlukan bimbingan berterusan daripada bilangan guru yang
sesuai dengan nisbah murid yang menepati pendekatan talaqqi dan
musyafahah (iaitu satu kaedah pembelajaran secara bersemuka dengan guru bagi
mendengar, membetul kesalahan dan menyebut semula dengan baik dan lancar). Oleh
itu PI pada masa ini hanya menjurus kepada kebolehan membaca sahaja manakala
aspek khatam tidak ditekankan di sekolah tetapi menyerahkannya kepada
masyarakat.
3.
Kepentingan Bahasa Arab
Status Bahasa Arab
Sekolah Rendah pada masa ini sebagai mata pelajaran bahasa tambahan. Ia diajar
di sekolah-sekolah rendah secara berpilih dan terhad. Tidak semua murid
berpeluang mempelajarinya.
4. Kepentingan Fardhu Ain
Ramai ibu bapa
masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian dan penguasaan anak-anak mereka
terhadap amalan Fardu Ain terutama dalam hal ibadah mendirikan solat. Tambahan
pula Penilaian Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) yang dilaksanakan pada masa ini
perlu dikaji dan disemak semula supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih
berkesan.
Oleh itu satu pendekatan baru perlu diperkenalkan bagi memantapkan perlaksanaan
Fardhu Ain ini.
MODEL-MODEL
PROGRAM j-QAF
Enam (6) model
telah dikenalpasti akan dilaksanakan iaitu 5 model pengajaran dan 1 model
kokurikulum. Model-model pengajaran adalah seperti berikut:
1. model Kelas
Pemulihan Jawi;
2. model Tasmik;
3. model 6 bulan
Khatam al-Quran;
4. model Perluasan
Bahasa Arab Kumunikasi;
5. model Bestari
Solat.
Bagi
aktiviti-aktiviti pengukuhan pula yang telah dikenalpasti akan dilaksanakan
adalah model-model berikut:
1. Kelab Seni
Tulisan Jawi;
2. Kem Bina Juara;
3. Majlis Khatam
al-Quran;
4. Kem Literasi
al-Quran; dan
5. Pertandingan
Bahasa Arab.
MODEL-MODEL j-QAF
1.
Model Kelas Pemulihan Jawi
Model Pemulihan
Jawi diperjelaskan di dalam Buku Panduan Perlaksanaan Model kelas Pemulihan
Jawi. Ia akan diajar oleh guru khas pemulihan jawi dalam waktu yang sama dengan
kelas jawi biasa di semua sekolah dengan menggunakan modul pengajaran dan
pembelajaran (P&P) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran. Semua sekolah
hendaklah menubuhkan Kelab Seni Tulisan Jawi dan menjalankan aktiviti pengukuhan
di peringkat sekolah dengan menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan yang
bersesuaian serta mempertingkatkan penggunaan kemudahan ICT sedia ada.
2.
Model Khatam Al-Quran
Khatam Al-Quran
diperjelaskan di dalam buku panduan Perlaksanaan Program Khatam Qur’an Model 6
Bulan dan Buku Panduan Program Khatam al-Qur’an Model Tasmik.
Model 6
Bulan
dilaksanakan mengikut modul yang telah ditetapkan dengan menggunakan peruntukan
waktu PI sedia ada. Model ini akan menggunakan pendekatan talaqqi dan
musyafahah. Murid yang belum menguasai bacaan al-Quran dibimbing dengan
kaedah IQRA’, sementara yang telah menguasainya diteruskan menggunakan model
khatam al-Quran.
Model
Tasmik
pula
dilaksanakan di luar waktu persekolahan normal mengikut kesesuaian dan keupayaan
murid serta dengan persetujuan ibu bapa mereka dan kesediaan guru pembimbing
yang terdiri daripada guru j-QAF, GPI, guru-guru mata pelajaran lain yang
berkemampuan, atau pembimbing luar yang sesuai. Guru pembimbing tersebut
hendaklah dilantik secara rasmi oleh pihak sekolah dan insentif khas wajar
dipertimbangkan.
3.
Model Bahasa Arab
Bahasa Arab
Komunikasi (BAK) yang sedang dilaksanakan pada masa ini di sekolah-sekolah
kebangsaan akan diperluaskan pelaksanaannya di semua sekolah. Status mata
pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid
diwajibkan memilih BAK sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dan
Tamil. Peruntukan waktu adalah 60 minit seminggu dan diajar oleh guru Bahasa
Arab yang dilantik khusus.
|